[Company Logo Image]

Home Up

Berita 6
Sejarah ] Logo ] Ahli ] Organisasi ] Jasamu dikenang ] AJK  04 -05 ] AKTIVITI  2004 - 05 ] Pautan Utama ] Akhbar ] Suara PPSM ] Contents ]

 

 

Home
Up

Dua usul penting syarie

(Berita Harian - 9/9/03)

 
PERSATUAN Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) akan mengemukakan dua usul penting iaitu menetapkan unit pendakwaan bagi kes syarie dianggotai pegawai syarie dan meminta akta laporan media bagi kes Mahkamah Sivil turut merangkumi Mahkamah Syariah.

Presidennya, Datuk Ismail Yahya, berkata pelaksanaan dua usul itu perlu bagi meningkatkan profesionalisme dalam bidang kehakiman syarie di samping menyeragamkan fungsi Unit Pendakwaan Syariah.

Beliau yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, berkata buat masa ini, skim pelantikan pegawai syariah mengikut negeri masing-masing dan kebanyakan pegawai pendakwa adalah dari Jabatan Agama tanpa mengira sama ada mereka mempunyai latar belakang perundangan syarie atau tidak.

Katanya, keadaan itu juga membuatkan pegawai pendakwa sering bertukar menyebabkan mereka sukar meningkatkan profesionalisme dan penguasaan dalam bidang pendakwaan syarie.

Katanya, usul itu akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara selepas persidangan berakhir.

“Kita berharap satu unit pendakwaan diwujudkan berasingan dengan pegawai pendakwa memiliki latar belakang perundangan syarie dan boleh menjadi hakim atau peguam syarie pada bila-bila masa.

“Apa yang PPSM sarankan ialah Unit Pendakwaan Syarie beroperasi seperti Unit Pendakwaan Mahkamah Sivil,” katanya selepas perasmian Persidangan Pegawai Syariah Malaysia di sini, semalam.

Persidangan PPSM ke-5 selama tiga hari yang dihadiri 182 pegawai syarie itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman.

Sementara itu, Ismail berkata, PPSM juga mengusulkan Mahkamah Syariah mempunyai akta seperti Mahkamah Sivil bagi laporan media terhadap kes, terutama yang berkemungkinan boleh menimbulkan isu.

Beliau mengambil contoh kes perceraian Aida Melly yang diperbesarkan media massa seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Mahkamah Syariah sedangkan masalah kelewatan kes itu berpunca daripada pihak terbabit.

“Begitu juga kes perceraian melalui SMS yang dilaporkan dengan begitu meluas hingga menjadi isu besar,” katanya.

Beliau meminta media merujuk mahkamah terlebih sebelum membuat laporan.

Katanya, usul itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Mengenai ketidakseragaman pelaksanaan undang-undang di setiap negeri, Ismail berkata, pelaksanaan e-Syariah dapat mengelakkan pertindihan kes terutama yang sudah diputuskan satu negeri supaya tidak didaftarkan semula di negeri lain sebagaimana berlaku di Kedah dan Terengganu suatu ketika dulu.

 

Home ] Up ]

Send mail to ppsm2000@yahoo.com with questions or comments about this web site.
Copyright © 2001 PERSATUAN PEGAWAI SYAR'IAH MALAYSIA
Last modified: August 06, 2005