[Company Logo Image]

Home Up

Berita 3
Sejarah ] Logo ] Ahli ] Organisasi ] Jasamu dikenang ] AJK  04 -05 ] AKTIVITI  2004 - 05 ] Pautan Utama ] Akhbar ] Suara PPSM ] Contents ]

 

 

Home
Up

e-Syariah ke jabatan kerajaan


 
 

KETUA Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Rahman mengiringi
Samsudin untuk bergambar kenangan pada hari pertama
Persidangan Pegawai Syariah Malaysia Ke-5 di Shah
Alam, semalam. – Gambar oleh Izhari Ariffin

SHAH ALAM: Pelaksanaan e-Syariah akan dirangkaikan dengan beberapa jabatan kerajaan dalam usaha mempercepatkan prosedur penyelesaian sesuatu kes di semua peringkat Mahkamah Syariah, selain menambah kecekapan institusi terbabit.

Antara jabatan yang dikenal pasti ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman berkata, langkah yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu diharap siap sepenuhnya menjelang Jun 2005.

Katanya, perangkaian itu akan membolehkan penyaluran maklumat yang diperlukan bagi sesuatu kes dilakukan secara lebih cepat di antara pihak Mahkamah Syariah dengan jabatan terbabit.

Beliau berkata, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan kerajaan di semua mahkamah syariah perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pegawai dan kakitangan sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Ada kalanya kes Mahkamah Syariah memerlukan maklumat seperti pengesahan pendaftaran kelahiran anak atau kesahihan kewarganegaraan.

“Dengan perangkaian e-Syariah dengan jabatan berkenaan, kita yakin masa yang diambil bagi menyelesaikan kes akan lebih singkat.

“Kita bukan mengatakan sistem sedia ada tidak elok, cuma mahu melicinkan urusan pentadbiran di Mahkamah Syariah dan meningkatkan kecekapan berurusan ketika berurusan dengan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Syariah kelima di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Ab Rahman.

Persidangan dari 7 hingga 10 September itu bertemakan `Keadilan Pentadbiran Kehakiman Jenayah Syariah Menjamin Keharmonian Masyarakat’.

E-Syariah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pada awal Februari lalu, bertujuan menangani pelbagai masalah membabitkan pentadbiran Mahkamah Syariah di samping memastikan keadilan yang dituntut Islam terlaksana.

Projek e-Syariah membabitkan Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) serta JKSM.

Dalam perkembangan lain, Samsudin berkata, kaedah sulh (rundingan secara baik) akan dipraktikkan di semua mahkamah syariah negara ini secara berperingkat, bagi membolehkan pelaksanaannya diseragamkan.

Bagaimanapun, katanya, proses itu memerlukan masa kerana pelbagai persediaan perlu dilakukan seperti melatih pegawai untuk menjadi perantara rundingan.

“Ketika ini, hanya Selangor sudah mewartakan kaedah itu sebagai satu daripada jalan penyelesaian kes, manakala Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pewartaan.

“Melainkan perceraian, semua kes syariah lain boleh diselesaikan secara sulh bagi mencari titik persefahaman.

“Kita harap langkah ini akan disusuli oleh negeri lain kerana kaedah sulh yang membabitkan perbincangan hati ke hati secara damai dengan dihadiri pegawai sebagai perantara, adalah jauh lebih baik berbanding perbicaraan yang biasanya memakan masa,” katanya

 

Home ] Up ]

Send mail to ppsm2000@yahoo.com with questions or comments about this web site.
Copyright © 2001 PERSATUAN PEGAWAI SYAR'IAH MALAYSIA
Last modified: August 06, 2005