[Company Logo Image]

Home Up

Berita 1
Sejarah ] Logo ] Ahli ] Organisasi ] Jasamu dikenang ] AJK  04 -05 ] AKTIVITI  2004 - 05 ] Pautan Utama ] Akhbar ] Suara PPSM ] Contents ]

 

 

Home
Up

Istana Keadilan - Lambang institusi kehakiman

(Utusan Malaysia - 2/9/03)

INSTITUSI Badan Kehakiman negara yang menegakkan kedaulatan undang-undang terus utuh menghadapi arus perubahan serta pembangunan untuk mewujudkan keadilan dan kesaksamaan terhadap rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.

Walaupun satu ketika dulu ia tercalar akibat beberapa kontroversi tetapi telah berjaya ditangani dengan bijaksana oleh pucuk kepimpinan badan kehakiman itu.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim ketika di majlis-majlis pelantikan hakim baru sentiasa memberi penekanan bahawa mahkamah adalah satu-satunya tempat untuk orang awam mencari keadilan di sisi undang-undang.

Sebagaimana yang disebutkan dalam surah Al-Maa'idah ayat 8 yang bermaksud ``Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, bagi menerangkan kebenaran; dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada siapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan''.

Ahmad Fairuz membuat peringatan kepada para hakim yang baru menyandang jawatan dengan pelbagai pesanan dan nasihat yang boleh dicontohi dan diteladani dalam menegakkan keadilan demi kemakmuran sistem kehakiman.

Sempena menyambut kemerdekaan ke-46 tahun yang membebaskan rakyat daripada segala cengkaman penjajah dan anasir luar, badan kehakiman turut melalui proses perubahan dan struktur pentadbiran yang cekap bagi menegak keadilan orang awam.

Memetik kata-kata Ahmad Fairuz bahawa kebebasan kehakiman bukan terletak atas keputusan yang memihak si miskin dalam kesnya dengan si kaya; kebebasan kehakiman bukan terletak atas keputusan yang mengecundangkan Kerajaan dalam kesnya dengan rakyat individu atau korporat.

Kemenangan si miskin atau kekalahan Kerajaan tidak boleh dan tidak wajar menampilkan para hakim sebagai wira atau jaguh kebebasan kehakiman.

Ketua Hakim Negara itu menegaskan pematuhan dan pelaksanaan antara lainnya perenggan 2 Prinsip-Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itulah yang memertabatkan hakim ke takhta kebebasan kehakiman.

Sementara itu, bagi Mahkamah Syariah pula pada dasarnya, sejak negara mencapai kemerdekaan 46 tahun ia telah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat Islam negara ini melalui keberkesanannya menangani kes-kes yang melibatkan masalah kekeluargaan dan jenayah syariah di kalangan masyarakat Islam.

Bermula daripada tarikh keramat kemerdekaan itu sehingga kini, secara umumnya, bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah dalam tempoh tersebut tidak banyak berbeza.

Bagaimanapun institusi perundangan Islam itu secara konsisten mengalami perkembangan positif daripada aspek status kakitangan, pentadbiran dan infrastruktur serta penaikan taraf mahkamah itu sendiri.

Perubahan daripada sudut pentadbiran yang lebih cekap dan efisien inilah yang diharapkan oleh masyarakat.

Pengiktirafan ini selari dengan salah satu prinsip penting dalam pemakaian undang-undang iaitu mendapat pengiktirafan daripada masyarakat selagi institusi itu boleh diharapkan untuk menyelesaikan permasalahan yang berhubung kait dengan kepentingan masyarakat Islam.

``Di sinilah wujudnya pengiktirafan daripada masyarakat terhadap Mahkamah Syariah,'' kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok.

Menurut beliau, kerajaan telah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengadakan Perkara 121 (1A) yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh lagi membatalkan mana-mana keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Selain itu, katanya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil dan mengujudkan Skim Guna Sama Perkhidmatan Pegawai Syariah antara negeri-negeri pada tahun 1999 setelah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan pada 1996 yang mana objektifnya untuk menyeragamkan Undang-Undang Islam di Malaysia.

``Kerajaan juga akan melaksanakan aplikasi e-Syariah yang membolehkan pengendalian kes syariah dibuat secara cepat dan efisien melalui talian. Aplikasi ini juga menghubungkan Mahkamah Syariah seluruh negara dengan JKSM dan jabatan-jabatan kerajaan lain yang berkaitan.

``Perkembangan-perkembangan positif ini menunjukkan pengiktirafan dan penambahan bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada kerajaan,'' katanya.

Muhamad juga berpendapat bahawa peluang untuk memartabatkan dan memperkasakan undang-undang Islam di Malaysia adalah amat cerah.

Sehubungan itu, jelas beliau, langkah menyeluruh dan bersepadu daripada semua pihak perlu amat dituntut bagi merealisasikan usaha murni tersebut.

``Apabila semua usaha tersebut dicapai, maka pewujudan jawatan Peguam Syarie Negara, Jabatan Peguam Syarie Negara, Mahkamah Syariah Persekutuan, Majlis Peguam Syarie dan mengadakan Akta-Akta Persekutuan untuk digunapakai oleh Negeri bukanlah satu perkara yang mustahil,'' jelas beliau.

Kepesatan arus pembaharuan dalam Teknologi, Komunikasi dan Maklumat (ICT) telah memberi kesan yang positif kepada sistem kehakiman negara apabila para pengamal undang-undang dan orang awam boleh mengakses maklumat terkini mengenai mahkamah hanya dengan hujung jari mereka sahaja.

Perkara ini telah direalisasikan dengan wujudnya Laman Web bagi Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang boleh diakses melalui alamat www.kehakiman.gov.my atau enjin pencari ``Yahoo''.

Laman Web yang dibina pada tahun ini bertujuan memberi kemudahan kepada semua pihak yang berurusan dengan mahkamah tersebut termasuk untuk mengetahui tarikh perbicaraan, status kedudukan sesuatu kes yang difailkan serta keputusan kes berserta alasan penghakiman.

Badan kehakiman juga akan menyediakan laman web di semua mahkamah di negara ini secara berperingkat-peringkat bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Laman web mahkamah yang pertama telah dimulakan di Mahkamah Tinggi, Sandakan, Sabah dan kaedah yang dilaksanakan amat berkesan dan memudahkan rakyat serta dapat diterima oleh pengamal kehakiman negeri itu.

Di samping itu, badan kehakiman sedang mengkaji untuk mengadaptasi kemajuan teknologi dalam sistem kehakiman di negara luar termasuk Amerika dan England yang telah berjaya melaksanakan kaedah laman web seperti ini

 

Home ] Up ]

Send mail to ppsm2000@yahoo.com with questions or comments about this web site.
Copyright © 2001 PERSATUAN PEGAWAI SYAR'IAH MALAYSIA
Last modified: August 06, 2005