| Dua usul penting syarie
			(Berita Harian - 9/9/03) 
 
			PERSATUAN Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) akan mengemukakan dua usul 
			penting iaitu menetapkan unit pendakwaan bagi kes syarie dianggotai 
			pegawai syarie dan meminta akta laporan media bagi kes Mahkamah 
			Sivil turut merangkumi Mahkamah Syariah.
 Presidennya, Datuk Ismail Yahya, berkata pelaksanaan dua usul itu 
			perlu bagi meningkatkan profesionalisme dalam bidang kehakiman 
			syarie di samping menyeragamkan fungsi Unit Pendakwaan Syariah.
 
 Beliau yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, berkata 
			buat masa ini, skim pelantikan pegawai syariah mengikut negeri 
			masing-masing dan kebanyakan pegawai pendakwa adalah dari Jabatan 
			Agama tanpa mengira sama ada mereka mempunyai latar belakang 
			perundangan syarie atau tidak.
 
 Katanya, keadaan itu juga membuatkan pegawai pendakwa sering 
			bertukar menyebabkan mereka sukar meningkatkan profesionalisme dan 
			penguasaan dalam bidang pendakwaan syarie.
 
 Katanya, usul itu akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara 
			selepas persidangan berakhir.
 
 “Kita berharap satu unit pendakwaan diwujudkan berasingan dengan 
			pegawai pendakwa memiliki latar belakang perundangan syarie dan 
			boleh menjadi hakim atau peguam syarie pada bila-bila masa.
 
 “Apa yang PPSM sarankan ialah Unit Pendakwaan Syarie beroperasi 
			seperti Unit Pendakwaan Mahkamah Sivil,” katanya selepas perasmian 
			Persidangan Pegawai Syariah Malaysia di sini, semalam.
 
 Persidangan PPSM ke-5 selama tiga hari yang dihadiri 182 pegawai 
			syarie itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin 
			Osman.
 
 Sementara itu, Ismail berkata, PPSM juga mengusulkan Mahkamah 
			Syariah mempunyai akta seperti Mahkamah Sivil bagi laporan media 
			terhadap kes, terutama yang berkemungkinan boleh menimbulkan isu.
 
 Beliau mengambil contoh kes perceraian Aida Melly yang diperbesarkan 
			media massa seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Mahkamah Syariah 
			sedangkan masalah kelewatan kes itu berpunca daripada pihak 
			terbabit.
 
 “Begitu juga kes perceraian melalui SMS yang dilaporkan dengan 
			begitu meluas hingga menjadi isu besar,” katanya.
 
 Beliau meminta media merujuk mahkamah terlebih sebelum membuat 
			laporan.
 
 Katanya, usul itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan 
			Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
 
 Mengenai ketidakseragaman pelaksanaan undang-undang di setiap 
			negeri, Ismail berkata, pelaksanaan e-Syariah dapat mengelakkan 
			pertindihan kes terutama yang sudah diputuskan satu negeri supaya 
			tidak didaftarkan semula di negeri lain sebagaimana berlaku di Kedah 
			dan Terengganu suatu ketika dulu.
 |