
KETUA Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Rahman
mengiringi
Samsudin untuk bergambar kenangan pada hari pertama
Persidangan Pegawai Syariah Malaysia Ke-5 di Shah
Alam, semalam. – Gambar oleh Izhari Ariffin
SHAH ALAM: Pelaksanaan e-Syariah akan dirangkaikan dengan beberapa
jabatan kerajaan dalam usaha mempercepatkan prosedur penyelesaian
sesuatu kes di semua peringkat Mahkamah Syariah, selain menambah
kecekapan institusi terbabit.
Antara jabatan yang dikenal pasti ialah Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang
Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman berkata, langkah
yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu diharap siap
sepenuhnya menjelang Jun 2005.
Katanya, perangkaian itu akan membolehkan penyaluran maklumat yang
diperlukan bagi sesuatu kes dilakukan secara lebih cepat di antara
pihak Mahkamah Syariah dengan jabatan terbabit.
Beliau berkata, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
yang disediakan kerajaan di semua mahkamah syariah perlu
dimanfaatkan sepenuhnya oleh pegawai dan kakitangan sebagai langkah
meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Ada kalanya kes Mahkamah Syariah memerlukan maklumat seperti
pengesahan pendaftaran kelahiran anak atau kesahihan
kewarganegaraan.
“Dengan perangkaian e-Syariah dengan jabatan berkenaan, kita yakin
masa yang diambil bagi menyelesaikan kes akan lebih singkat.
“Kita bukan mengatakan sistem sedia ada tidak elok, cuma mahu
melicinkan urusan pentadbiran di Mahkamah Syariah dan meningkatkan
kecekapan berurusan ketika berurusan dengan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan
Persidangan Pegawai Syariah kelima di sini, semalam. Hadir sama
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk
Sheikh Ghazali Ab Rahman.
Persidangan dari 7 hingga 10 September itu bertemakan `Keadilan
Pentadbiran Kehakiman Jenayah Syariah Menjamin Keharmonian
Masyarakat’.
E-Syariah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad, pada awal Februari lalu, bertujuan menangani pelbagai
masalah membabitkan pentadbiran Mahkamah Syariah di samping
memastikan keadilan yang dituntut Islam terlaksana.
Projek e-Syariah membabitkan Unit Pemodenan Pentadbiran dan
Perancangan Pengurusan (Mampu) serta JKSM.
Dalam perkembangan lain, Samsudin berkata, kaedah sulh (rundingan
secara baik) akan dipraktikkan di semua mahkamah syariah negara ini
secara berperingkat, bagi membolehkan pelaksanaannya diseragamkan.
Bagaimanapun, katanya, proses itu memerlukan masa kerana pelbagai
persediaan perlu dilakukan seperti melatih pegawai untuk menjadi
perantara rundingan.
“Ketika ini, hanya Selangor sudah mewartakan kaedah itu sebagai satu
daripada jalan penyelesaian kes, manakala Wilayah Persekutuan sedang
dalam proses pewartaan.
“Melainkan perceraian, semua kes syariah lain boleh diselesaikan
secara sulh bagi mencari titik persefahaman.
“Kita harap langkah ini akan disusuli oleh negeri lain kerana kaedah
sulh yang membabitkan perbincangan hati ke hati secara damai dengan
dihadiri pegawai sebagai perantara, adalah jauh lebih baik
berbanding perbicaraan yang biasanya memakan masa,” katanya